Permainan Tradisional : KONDA KONDI



Permainan Tradisional
KONDA KONDI


Konda-kondi ialah permainan laman, iaitu di kawasan lapang. Permainan ini yang dikenali juga sebagai perik mata memerlukan daya fikir, iaitu ketika menentukan arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan.
Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil. Kedua-dua batang kayu itu berbentuk bulat dan ukuran garis pusatnya ialah 2 sm. Kayu yang pendek (15 sm) dipanggil anak atau keli dan kayu yang panjang (30 – 40 sm) dipanggil ibu atau ketuk. Lubang sedalam 15 sm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.
Permainan berupa pertandingan secara berpasukan. Satu pasukan lazimnya terdiri daripada tiga orang pemain. Undian diadakan untuk membentuk pasukan dan menetapkan pasukan yang akan memulakan permainan.
Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang. Kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara. Setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang. Pasukan lawan pula hendaklah berusaha menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan; tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengenai kayu panjang.
Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.

Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkannya ke udara, dan kemudian memukulnya sekuat yang mungkin dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali untuk memukul kayu pendek itu. Peluangnya memukul kayu pendek berakhir apabila kayu pendek terkena pukulan kayu panjang, walaupun pada percubaan pertama atau kedua.
Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut kayu pendek itu. Jika tidak berjaya, pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Permainan Ketiga (Patuk Ular)
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang dan mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melenting ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu dikira dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya.
Pasukan yang mendapat mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

Latihan
Laksanakan permainan ini pada masa lapang anda. Buktikan bahawa anda telah melaksanakan permainan ini dengan rakaman video atau gambar foto digital.

Nota
1.      23 September 2006: perlawanan konda kondi diadakan di kawasan lapang flet pensyarah.
2.      Kayu ibu untuk dewasa 50 sm.
3.      Terpukul keluar garisan dan ke belakang: hilang giliran
4.      Demi keselamatan, pukulan keli permainan kedua perlu dari bawah ke atas -- bukan secara mendatar.
5.      Peraturan baharu: setiap pusingan, keli dibalingkan kepada ibu/lubang. Tindakan ini akan menyebabkan permainan menjadi lebih pantas, penyertaan lebih menyeluruh, pengiraan mata tidak kalut!