Permainan Tradisional: CONGKAK



Permainan Tradisional
CONGKAK


Congkak ialah sejenis permainan dalam rumah yang menggunakan kayu bujur berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji saga, biji getah, kulit lokan dan lain-lain.
            Permainan congkak mungkin dicipta semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kini, permainan ini telah menjadi popular dalam kalangan semua kaum di Malaysia. Permainan congkak juga terdapat di beberapa bahagian di Afrika, India, Sri Lanka, Thailand, Filipina, Indonesia dan beberapa kepulauan yang besar di gugusan Pasifik. Ada pendapat mengatakan, bahawa orang Melayu yang merantau ke Negara-negara tersebut yang memperkenalkan permainan congkak di sana.
            Papan congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang direka bentuk mirip bentuk sebuah perahu nelayan atau ikan belah dua yang hujungnya mempunyai ukiran kepala burung, singa, angsa atau ular besar. Lubangnya ditebuk di atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak hanya di tanah, lubangnya digali dan kemudian diletakkan atau ditanamkan sebelah tempurung kelapa yang telah dikeringkan. Adakalanya lubang congkak di tanah hanya berupa lubang tanpa tempurung atau mangkuk lain.
            Dalam permainan congkak, biasanya terdapat tujuh lubang dalam dua barisan bersaingan dan selari antara satu sama lain. Lubang itu disebut kampung*. Di hujung kampung itu terdapat sebuah lubang yang lebih besar dan dalam disebut rumah.* Keseluruhan lubang yang terdapat pada setiap papan congkak ialah 14 buah kampung dan dua buah rumah. Ada juga papan congkak yang mengandungi sembilan buah kampung dalam satu barisan dan rumahnya tetap dua sahaja.
            Sekiranya papan itu mempunyai tujuh kampung dalam satu barisan, maka tujuh buah yang diisikan ke dalam setiap kampung. Begitu juga sekiranya papan itu mengandungi sembilan kampung maka diisikan sembilan buah pada setiap kampung, manakala rumah dikosongkan.
            Setiap permainan congkak memerlukan dua orang pemain yang duduk berhadap-hadapan pada papan congkak. Permainan ini dimulakan dengan kedua-dua pihak mencapai buah di kampung masing-masing secara serentak. Setiap pemain boleh mencapai buah dari mana-mana kampung yang disukainya mengikut perkiraan dan kepintaran masing-masing. Dengan pergerakan dari kiri ke kanan, sebiji buah dimasukkan pada setiap kampung sendiri, rumah sendiri dan kampung lawan. Buah tidak dimasukkan di rumah lawan. Gerakan ini diteruskan hingga buah yang terakhir di tangan dimasukkan ke dalam kampung kosong, sama ada di kampung lawan atau di kampung sendiri,  dan pemain hendaklah berhenti.
Sekiranya buah itu jatuh di kampung sendiri, maka pemain boleh menembak (menembuk) kampung lawan yang ada di hadapannya dengan mengaut kesemua buah yang ada di dalam kampung tersebut. Selepas itu, pihak lawan bolehlah meneruskan permainannya tanpa gangguan hingga buahnya jatuh di dalam rumah sendiri, maka pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak dari mana-mana kampung sendiri. Tetapi sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga menerima akibat yang sama.
            Selepas pusingan pertama tamat, maka setiap pemain mengisi semula kampung masing-masing dengan buah mengikut angka kampung. Sekiranya ada kampung yang tidak cukup buah, maka kesemua buah yang ada itu dikembalikan ke dalam rumah dan kampung itu dianggap terbakar. Kampung itu tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan kedua dan begitu juga pada pusingan ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah selepas pusingan ketiga tanpa dapat mengatasi pihak lawan untuk mendapatkan semula buah dari kampung lawan.

*Kampung disebut juga rumah anak. Jika istilah rumah anak digunakan, rumah yang besar disebut rumah ibu.