Permainan Tradisional: TINGTING



Permainan Tradisional
TINGTING



Permainan ini juga dikenali sebagai ketingting, iaitu sejenis permainan lompat-lompat. Satu pasukan tingting terdiri daripada dua hingga empat orang. Permainan ini lazimnya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Hal ini mungkin disebabkan oleh permainan ini tidak begitu lasak dan tidak memerlukan tenaga yang banyak. Gelanggangnya pun kecil sahaja.
Gelanggang tingting berupa petak-petak yang dilukis di atas tanah. Terdapat sembilan petak kosong bagi satu gelanggang.

Selain gelanggang, gundu atau buah digunakan dalam permainan ini. Gundu ialah objek berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan. Pecahan pinggan, kepingan besi atau batu yang leper dapat dijadikan gundu. Gundu dijadikan tanda bagi para pemain untuk mengerakkan kedudukan mereka di petak-petak gelanggang.
Cara Bermain
Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang akan memulakan permainan dan bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
Permainan ini bermula dengan seorang pemain mencampakkan gundu ke dalam petak pertama dengan cara membelakangkan petak, begitu juga jika pemain telah berjaya melepasi pusingan pertama, kedua dan seterusnya cara mencampakkan gundu adalah sama. Jika gundu tidak masuk ke dalam petak yang ditentukan atau terkeluar, pemain dianggap mati dan hilang giliran. Pemain lain mengambil giliran pula.
Pemain dikehendaki melompat ke dalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan, iaitu gundu berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Begitu juga dengan lompatan di setiap petak, seandainya pemain terpijak garisan, dia dianggap mati dan pemain lain mengambil alih permainan.
Setelah pemain melompat kembali ke garisan permulaan, setibanya di petak kedua dan keempat, pemain hendaklah memijak petak dengan kaki kanan di petak kedua dan kaki kiri di petak keempat. Setelah itu pemain dikehendaki melompat ke petak ketiga pula dengan hanya sebelah kaki dan seterusnya gundu hendaklah dikutip di petak pertama lalu melompat ke petak pertama dan terus ke garisan penamat.
Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak yang ada gundu di dalamnya, sama ada kepunyaan sendiri atau pihak lawan, jika ini berlaku ia dikira mati dan pemain seterusnya mengambil alih permainan.
Membina Rumah
Sebelum pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Gundu hendaklah diletakkan di atas kepala dan pemain melompat ke dalam setiap petak dengan sebelah kaki kecuali petak kesembilan. Pemain hendaklah melepasi petak ketujuh tanpa melompat ke dalamnya dan terus ke petak lima. Sambil berdiri menghadap di garisan permulaan petak ketujuh, pemain dikehendaki menundukkan kepala menjatuhkan gundu. Gundu hendaklah disambut sebelum jatuh ke tanah, jika pemain tidak dapat menyambutnya dia dikira mati dan acara timbang dilakukan semula setelah gilirannya sampai kemudian. Pemain terus melompat ke petak pertama dan keluar dari garisan permulaan.
Untuk mendapatkan rumah, pemain berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan gundu ke dalam mana-mana petak gelanggang dan di situlah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena garisan atau terkeluar maka dia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak petak rumah dengan kedua belah kaki, tetapi pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijaknya dengan kedua belah kakinya, dia dikira mati.
Latihan
Adakan aktiviti permainan ini pada masa yang sesuai.
Gelanggang biasa (8 petak)

Permainan Tradisional : KONDA KONDI



Permainan Tradisional
KONDA KONDI


Konda-kondi ialah permainan laman, iaitu di kawasan lapang. Permainan ini yang dikenali juga sebagai perik mata memerlukan daya fikir, iaitu ketika menentukan arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan.
Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil. Kedua-dua batang kayu itu berbentuk bulat dan ukuran garis pusatnya ialah 2 sm. Kayu yang pendek (15 sm) dipanggil anak atau keli dan kayu yang panjang (30 – 40 sm) dipanggil ibu atau ketuk. Lubang sedalam 15 sm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.
Permainan berupa pertandingan secara berpasukan. Satu pasukan lazimnya terdiri daripada tiga orang pemain. Undian diadakan untuk membentuk pasukan dan menetapkan pasukan yang akan memulakan permainan.
Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang. Kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara. Setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang. Pasukan lawan pula hendaklah berusaha menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan; tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengenai kayu panjang.
Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.

Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkannya ke udara, dan kemudian memukulnya sekuat yang mungkin dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali untuk memukul kayu pendek itu. Peluangnya memukul kayu pendek berakhir apabila kayu pendek terkena pukulan kayu panjang, walaupun pada percubaan pertama atau kedua.
Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut kayu pendek itu. Jika tidak berjaya, pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Permainan Ketiga (Patuk Ular)
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang dan mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melenting ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu dikira dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya.
Pasukan yang mendapat mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

Latihan
Laksanakan permainan ini pada masa lapang anda. Buktikan bahawa anda telah melaksanakan permainan ini dengan rakaman video atau gambar foto digital.

Nota
1.      23 September 2006: perlawanan konda kondi diadakan di kawasan lapang flet pensyarah.
2.      Kayu ibu untuk dewasa 50 sm.
3.      Terpukul keluar garisan dan ke belakang: hilang giliran
4.      Demi keselamatan, pukulan keli permainan kedua perlu dari bawah ke atas -- bukan secara mendatar.
5.      Peraturan baharu: setiap pusingan, keli dibalingkan kepada ibu/lubang. Tindakan ini akan menyebabkan permainan menjadi lebih pantas, penyertaan lebih menyeluruh, pengiraan mata tidak kalut!


Permainan Tradisional : SEPAK RAGA



Permainan Tradisional
SEPAK RAGA


Sepak raga ialah sejenis permainan tradisional. Permainan ini wujud sejak zaman Kesultanan Melayu pada abad yang ke-15 lagi. Menurut Sejarah Melayu, sepak raga bukan sahaja dimainkan oleh rakyat biasa tetapi juga dimainkan oleh golongan istana dan para pembesar.
Sepak raga dimainkan dengan menggunakan bola raga yang diperbuat daripada rotan. Sepak raga adalah permainan yang memerlukan kecekapan dan kepantasan kaki dalam menimbang bola raga. Pada zaman dahulu, pemain sepak raga menggunakan sepotong upih pinang yang dilapikkan pada buku lali kaki. Pelapik ini digunakan untuk menahan rasa sakit ketika menyepak bola tersebut.
Sepak raga boleh dimainkan dalam kumpulan yang kecil, iaitu empat orang atau lebih. Pemain berdiri membentuk satu bulatan dan permainan dimulakan dengan seorang pemain melambungkan bola raga kepada seorang pemain lain. Pemain yang menerima bola daripada lambungan itu hendaklah menyepak dengan cepat supaya bola itu tidak jatuh ke tanah. Pemain itu boleh menimbang bola seberapa kali yang disukainya atau membuat sepakan kepada pemain lain untuk meneruskan sepakan.
Dalam pertandingan sepak raga, jumlah mata dikira mengikut jumlah sepakan yang berjaya disepak dan juga ditentukan berapa kali bola raga yang dibenarkan jatuh. Pasukan yang berjaya membuat sepakan yang banyak dalam satu jangka masa yang ditetapkan akan dikira sebagai pemenang.
Sepak Takraw
Permainan sepak takraw dimainkan dalam gelanggang sebagai perlawanan antara pasukan atau regu. Dalam satu permainan, hanya dua regu bertanding. Setiap regu mempunyai tiga orang pemain utama dan seorang pemain gantian. Seorang pemain yang dinamakan tekong akan berada di tengah gelanggang, manakala dua orang pemain lagi, iaitu apit kiri dan apit kanan, akan berada di bahagian kiri dan kanan gelanggang.
Pada peringkat permulaan, apit kiri atau apit kanan akan mencampakkan bola kepada tekong yang berada dalam bulatan. Regu lawan bebas berada di mana-mana dalam gelanggang mereka. Setelah bola dicampakkan, tekong membuat sepakan melepasi jaring ke arah regu lawan. Regu lawan pula akan menyambut bola tersebut dengan cara menanduk, menimang atau sepakan serta memastikan bola tersebut tidak jatuh ke atas gelanggang. Proses ini berterusan sehinggalah bola tersebut jatuh atau terkandas di jaring.
Selain kemahiran menyepak dan menimang, terdapat juga kemahiran lain seperti membuat libasan atau rejaman. Kemahiran ini adalah salah satu cara untuk menundukkan regu lawan dan mendapatkan mata dengan mudah. Pelbagai cara libasan boleh dibuat, seperti libasan cantas, libasan gunting, libasan gulung hadapan dan libasan terbang. Libasan dibuat menggunakan kaki dan ketajaman libasan serta ketepatan bola jatuh juga diambil kira.
Cara bermain permainan ini dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:
1.      Undian Lambungan duit syiling dibuat untuk pemilihan gelanggang atau memulakan permainan.
2.      Sepakan mula Juga dikenali sebagai sepakan servis. Apit kiri atau apit kanan akan mencampakkan bola kepada tekong.
3.      Dalam permainan … Bola yang disepak oleh regu lawan akan diambil dan diberikan kepada rakan sepasukan dan akan diberikan kembali kepada regu lawan.
4.      Tukar sepak … Berlaku apabila terdapat kesilapan ketika penghantaran bola.
5.      Kiraan mata Regu yang membuat servis akan mendapat mata.
6.      Bola kandas/keluar … Bola yang tidak melepasi atau mengenai jaring dikatakan bola kandas, manakala bola yang melepasi garisan belakang dan tidak disentuh dikenali sebagai bola keluar.
7.      Permainan tamat - Regu yang mencapai mata ke 15 terlebih dahulu dianggap pemenang.

Latihan
1.      Lengkapkan nota ini dengan peraturan permainan sepak raga bulatan.
2.      Laksanakan permainan sepak raga bulatan pada masa lapang anda. Buktikan pelaksanaan aktiviti itu dengan rakaman video atau gambar foto digital.
Aziz Deraman, 2005. Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 117-122.
1.       Pemain: 6-10 orang.
2.       Garis pusat bulatan lebih kurang 15 kaki.
3.       Sepak kuda (menggunakan bahagian atas kaki) tidak dibenarkan.
4.       Setiap pemain hanya dibenarkan menyepak tiga kali berturut-turut. Sepakan ketiga ialah hantaran kepada rakan.
5.       Mata hanya dikira apabila bola melambung melebihi kepala pemain. (Sepakan yang rendah tiada mata.)
6.       Setiap kumpulan diperuntukkan tiga kali permainan … berakhir dengan bola mati/batal kali ketiga.
Am: dinamakan juga permainan sepak raga tikam, permainan Hang Tuah lima bersaudara.
Sekali persetua pergi memain-mainkan kuda di Kampung Bendahara Paduka Raja. Adapun kepada masa itu Tun Besar anak Bendahara bermain sepak raja di lebuh dengan segala orang muda mudi. Maka Raja Muhamad pun lalu; Tun Besar sedang menyepak raga maka raga itu pun jatuh menimpa destar Raja Muhamad, jatuh ke tanah.
“Cop Jatuh Destar kita oleh Tun Besar,” sama ia memandang penjawatnya. Maka berlari-lari orang membawa puan baginda, ditikamnya Tun Besar, kena belikatnya terus ke ulu hati. Mata Tun Besar pun matilah.

           

Permainan Tradisional: CONGKAK



Permainan Tradisional
CONGKAK


Congkak ialah sejenis permainan dalam rumah yang menggunakan kayu bujur berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji saga, biji getah, kulit lokan dan lain-lain.
            Permainan congkak mungkin dicipta semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kini, permainan ini telah menjadi popular dalam kalangan semua kaum di Malaysia. Permainan congkak juga terdapat di beberapa bahagian di Afrika, India, Sri Lanka, Thailand, Filipina, Indonesia dan beberapa kepulauan yang besar di gugusan Pasifik. Ada pendapat mengatakan, bahawa orang Melayu yang merantau ke Negara-negara tersebut yang memperkenalkan permainan congkak di sana.
            Papan congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang direka bentuk mirip bentuk sebuah perahu nelayan atau ikan belah dua yang hujungnya mempunyai ukiran kepala burung, singa, angsa atau ular besar. Lubangnya ditebuk di atas permukaan papan tersebut. Sekiranya permainan congkak hanya di tanah, lubangnya digali dan kemudian diletakkan atau ditanamkan sebelah tempurung kelapa yang telah dikeringkan. Adakalanya lubang congkak di tanah hanya berupa lubang tanpa tempurung atau mangkuk lain.
            Dalam permainan congkak, biasanya terdapat tujuh lubang dalam dua barisan bersaingan dan selari antara satu sama lain. Lubang itu disebut kampung*. Di hujung kampung itu terdapat sebuah lubang yang lebih besar dan dalam disebut rumah.* Keseluruhan lubang yang terdapat pada setiap papan congkak ialah 14 buah kampung dan dua buah rumah. Ada juga papan congkak yang mengandungi sembilan buah kampung dalam satu barisan dan rumahnya tetap dua sahaja.
            Sekiranya papan itu mempunyai tujuh kampung dalam satu barisan, maka tujuh buah yang diisikan ke dalam setiap kampung. Begitu juga sekiranya papan itu mengandungi sembilan kampung maka diisikan sembilan buah pada setiap kampung, manakala rumah dikosongkan.
            Setiap permainan congkak memerlukan dua orang pemain yang duduk berhadap-hadapan pada papan congkak. Permainan ini dimulakan dengan kedua-dua pihak mencapai buah di kampung masing-masing secara serentak. Setiap pemain boleh mencapai buah dari mana-mana kampung yang disukainya mengikut perkiraan dan kepintaran masing-masing. Dengan pergerakan dari kiri ke kanan, sebiji buah dimasukkan pada setiap kampung sendiri, rumah sendiri dan kampung lawan. Buah tidak dimasukkan di rumah lawan. Gerakan ini diteruskan hingga buah yang terakhir di tangan dimasukkan ke dalam kampung kosong, sama ada di kampung lawan atau di kampung sendiri,  dan pemain hendaklah berhenti.
Sekiranya buah itu jatuh di kampung sendiri, maka pemain boleh menembak (menembuk) kampung lawan yang ada di hadapannya dengan mengaut kesemua buah yang ada di dalam kampung tersebut. Selepas itu, pihak lawan bolehlah meneruskan permainannya tanpa gangguan hingga buahnya jatuh di dalam rumah sendiri, maka pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak dari mana-mana kampung sendiri. Tetapi sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga menerima akibat yang sama.
            Selepas pusingan pertama tamat, maka setiap pemain mengisi semula kampung masing-masing dengan buah mengikut angka kampung. Sekiranya ada kampung yang tidak cukup buah, maka kesemua buah yang ada itu dikembalikan ke dalam rumah dan kampung itu dianggap terbakar. Kampung itu tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan kedua dan begitu juga pada pusingan ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah selepas pusingan ketiga tanpa dapat mengatasi pihak lawan untuk mendapatkan semula buah dari kampung lawan.

*Kampung disebut juga rumah anak. Jika istilah rumah anak digunakan, rumah yang besar disebut rumah ibu.