Permainan Tradisional: TINGTING



Permainan Tradisional
TINGTING



Permainan ini juga dikenali sebagai ketingting, iaitu sejenis permainan lompat-lompat. Satu pasukan tingting terdiri daripada dua hingga empat orang. Permainan ini lazimnya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Hal ini mungkin disebabkan oleh permainan ini tidak begitu lasak dan tidak memerlukan tenaga yang banyak. Gelanggangnya pun kecil sahaja.
Gelanggang tingting berupa petak-petak yang dilukis di atas tanah. Terdapat sembilan petak kosong bagi satu gelanggang.

Selain gelanggang, gundu atau buah digunakan dalam permainan ini. Gundu ialah objek berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan. Pecahan pinggan, kepingan besi atau batu yang leper dapat dijadikan gundu. Gundu dijadikan tanda bagi para pemain untuk mengerakkan kedudukan mereka di petak-petak gelanggang.
Cara Bermain
Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang akan memulakan permainan dan bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
Permainan ini bermula dengan seorang pemain mencampakkan gundu ke dalam petak pertama dengan cara membelakangkan petak, begitu juga jika pemain telah berjaya melepasi pusingan pertama, kedua dan seterusnya cara mencampakkan gundu adalah sama. Jika gundu tidak masuk ke dalam petak yang ditentukan atau terkeluar, pemain dianggap mati dan hilang giliran. Pemain lain mengambil giliran pula.
Pemain dikehendaki melompat ke dalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan, iaitu gundu berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Begitu juga dengan lompatan di setiap petak, seandainya pemain terpijak garisan, dia dianggap mati dan pemain lain mengambil alih permainan.
Setelah pemain melompat kembali ke garisan permulaan, setibanya di petak kedua dan keempat, pemain hendaklah memijak petak dengan kaki kanan di petak kedua dan kaki kiri di petak keempat. Setelah itu pemain dikehendaki melompat ke petak ketiga pula dengan hanya sebelah kaki dan seterusnya gundu hendaklah dikutip di petak pertama lalu melompat ke petak pertama dan terus ke garisan penamat.
Setiap pemain tidak dibenarkan memijak petak yang ada gundu di dalamnya, sama ada kepunyaan sendiri atau pihak lawan, jika ini berlaku ia dikira mati dan pemain seterusnya mengambil alih permainan.
Membina Rumah
Sebelum pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Gundu hendaklah diletakkan di atas kepala dan pemain melompat ke dalam setiap petak dengan sebelah kaki kecuali petak kesembilan. Pemain hendaklah melepasi petak ketujuh tanpa melompat ke dalamnya dan terus ke petak lima. Sambil berdiri menghadap di garisan permulaan petak ketujuh, pemain dikehendaki menundukkan kepala menjatuhkan gundu. Gundu hendaklah disambut sebelum jatuh ke tanah, jika pemain tidak dapat menyambutnya dia dikira mati dan acara timbang dilakukan semula setelah gilirannya sampai kemudian. Pemain terus melompat ke petak pertama dan keluar dari garisan permulaan.
Untuk mendapatkan rumah, pemain berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan gundu ke dalam mana-mana petak gelanggang dan di situlah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena garisan atau terkeluar maka dia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak petak rumah dengan kedua belah kaki, tetapi pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijaknya dengan kedua belah kakinya, dia dikira mati.
Latihan
Adakan aktiviti permainan ini pada masa yang sesuai.
Gelanggang biasa (8 petak)

Permainan Tradisional : KONDA KONDI



Permainan Tradisional
KONDA KONDI


Konda-kondi ialah permainan laman, iaitu di kawasan lapang. Permainan ini yang dikenali juga sebagai perik mata memerlukan daya fikir, iaitu ketika menentukan arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan.
Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil. Kedua-dua batang kayu itu berbentuk bulat dan ukuran garis pusatnya ialah 2 sm. Kayu yang pendek (15 sm) dipanggil anak atau keli dan kayu yang panjang (30 – 40 sm) dipanggil ibu atau ketuk. Lubang sedalam 15 sm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.
Permainan berupa pertandingan secara berpasukan. Satu pasukan lazimnya terdiri daripada tiga orang pemain. Undian diadakan untuk membentuk pasukan dan menetapkan pasukan yang akan memulakan permainan.
Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang. Kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara. Setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang. Pasukan lawan pula hendaklah berusaha menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan; tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengenai kayu panjang.
Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.

Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkannya ke udara, dan kemudian memukulnya sekuat yang mungkin dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali untuk memukul kayu pendek itu. Peluangnya memukul kayu pendek berakhir apabila kayu pendek terkena pukulan kayu panjang, walaupun pada percubaan pertama atau kedua.
Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut kayu pendek itu. Jika tidak berjaya, pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Permainan Ketiga (Patuk Ular)
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang dan mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melenting ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu dikira dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya.
Pasukan yang mendapat mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

Latihan
Laksanakan permainan ini pada masa lapang anda. Buktikan bahawa anda telah melaksanakan permainan ini dengan rakaman video atau gambar foto digital.

Nota
1.      23 September 2006: perlawanan konda kondi diadakan di kawasan lapang flet pensyarah.
2.      Kayu ibu untuk dewasa 50 sm.
3.      Terpukul keluar garisan dan ke belakang: hilang giliran
4.      Demi keselamatan, pukulan keli permainan kedua perlu dari bawah ke atas -- bukan secara mendatar.
5.      Peraturan baharu: setiap pusingan, keli dibalingkan kepada ibu/lubang. Tindakan ini akan menyebabkan permainan menjadi lebih pantas, penyertaan lebih menyeluruh, pengiraan mata tidak kalut!